Saturday, June 20, 2009

Selamat Hari Bapa


Selepas hari Ibu, kini hadir pula Hari Bapa. Tahun ini dah 7 tahun ayahanda meninggal dunia. Al-Fatihah. Walaupun begitu kenangan bersama ayahanda masih segar dalam ingatan. Ayahanda seorang yang tegas, penyabar dah kuat semangat. Malang menimpa, pada tahun 1980 ayahanda diserang stok dan lumpuh separuh badan. Dengan semangat yang kuat tidak lama selepas itu ayahanda bangun dan hasilnya ayahanda mampu menguruskan diri sendiri malah mampu mengayuh basikal untuk ke kedai Pak Mat gunting rambut.

Yang paling segar dalam ingatan kenangan masa kecil aku bersama ayahanda ialah ronda-ronda naik motor baru ayahanda. Aku duduk dihadapan didalam bakul motorsikal Honda Cup C60 ayahanda. Ketika itu usia aku dalam lingkungan 5 tahun dan ayahanda juga sibuk menguruskan kedai runcitnya di kampong. Satu dari 3 kedai runcit yang ada di kampong aku ketika itu.

Ayahanda seorang yang tidak mahu melihat anak-anaknya susah. Dalam keadaan lumpuhpun ayahanda seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dia menguruskan dirinya sendiri sejak bonda meninggal dunia pada tahun 1987. Hampir 1 satun ayahanda bersedih diatas kepergian bonda tercinta. Setiap lepas sembahyang aku perhatikan ada linangan air mata dipipi ayahanda mendoakan bonda.

Terlalu banyak pengorbanan yang diberikan oleh ayahanda kepada anak-anaknya termasuk aku. Hasil dari perniagaan kedai runcitnya ayahanda mampu memiliki beberapa bidang tanah. Tetapi kebanyakkan daripada tanah-tanahnya telah dijual bagi menampung pelajaran anak-anaknya terutama abang-abang aku ke universiti. Motor pertama milik aku ketika di universiti adalah dari wang simpanan ASB ayahanda.

Ayahanda meninggal dunia selepas kena serangan strok kali kedua. Tidak lama selepas itu ayahanda kena food poisoning. Selepas kena food poisoning keadaan ayahanda makin kritikal. Ketika itu aku masih di Kuala Lumpur. Aku tidak sempat berada disisi ayahanda ketika ayahanda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Menurut abangku ketika nak dihantarkan ke Hospital dari rumah, ayahanda menitiskan air mata meninggalkan rumahnya kali terakhir. Rumah yang dibinanya sendiri. Mungkin ayahanda tahu bahawa ayahanda tidak akan kembali lagi melihat rumahnya selepas itu. Sesampainya dihospital ayahanda berpesan kedapa abangku agar membawakan kepadanya kain pelikat. Rupa-rupanya kain pelikat yang dimintanya adalah untuk menutup jenazahnya.

Kini kami kesemua anak-anaknya telah memiliki keluarga masing-masing dan aku sendiri telah menjadi ayah. Ayah kepada 2 orang anak yang nakal. Mampukah aku menjadi ayah yang baik, berkorban harta benda, jiwa dan raga terhadap anak-anak kesayangan seperti ayahanda. Sudah tentu perananku sebagai ayah pada zaman sekarang lebih mencabar akibat persekitaran yang dicemari masalah gejala sosial yang berluluasa.

KepadaNya lah kita memohon perlindungan.

Buat ayahanda dan bonda, anakanda nak ucapkan terima kasih kerana melahirkan anakanda kedunia ini. Menyayangi dan membesarkan anakanda dengan sempurna.

Selamat Hari Bapa buat Ayahanda semoga roh ayahanda dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang dikasihi. Selamat Hari Bapa jua buat Ayah Mertuaku semoga dimurahkan rezeki, kesihatan dan kesejahteraan.

Amin.

0 comments:

Post a Comment