Showing posts with label Famili. Show all posts
Showing posts with label Famili. Show all posts

Thursday, December 1, 2011

Hadiah Berkhatan Khir

Besok Khir akan berkhatan. Temu janji dengan doktor telah dibuat jam 2.00 petang selepas sembahyang Jumaat.

Katanya… “berkhatan akan dapat hadiah kan ayah??” hhmmmm….nak hadiah pulak. Oklah…Khir. Hadiah yang diminta bukannya murah….Sony PSP!!! Adooiii…dah ada PS2 kat rumah pun nak PSP pulak.


Lari la budget ayah nak simpan duit beli CBR macam ni….hahhaha. Tak pe la sebabkan berkhatan Khir ayah belikan juga PSP untuk Khir.

Terbang duit ayah!!!!

Wednesday, November 30, 2011

Majlis Aqiqah Aireen Dan Berkhatan Khir

1 Muharam 1433H bersamaan 27 November 2011 telah selamat dijalankan Majlis Aqiqah Aireen dan berkhatan Khir di kampong.

Ada 3 lagi majlis perkahwinan di kampong telah mengakibatkan tetamu berpecah kemajlis-majlis lain. Agaknya tarikh 1 Muharam menjadi pilihan pasangan yang nak berkahwin bukan bermakna untuk berhijrah tapi tarikh itu jatuh pada hari ahad sekali gus mendapatkan cuti ganti hari Isnin.





Apapun majlis kami disambut meriah dengan kehadiran sanak saudara dan tetamu.

Thursday, November 17, 2011

UPSR 2011 : Tahniah, Syabas dan Cuba Lagi

Hari ini keputusan UPSR telah pun keluar. Ada bermacam ragam. Yang menangis kegembiraan, menangis kedukaan, tersenyum, tersengeh, terkedu dan ada juga tak memberikan respon apa-apa terhadap keputusan yang dicapai.

Tahun ini peratusan kecemerlangan 5A di Sek Keb Taman Rakan tempat kakak berlajar menurun berbanding tahun 2010 dengan kelulusan hanya 82%. Kalau tak silap pendengaran, yang dapat 5A hanya 34 orang dan 4A1B juga 34 orang.

Tahniah kepada yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR 2011. Tahniah juga buat yang anak-anak yang mendapat tempat kedua 4A1B dan ketiga 3A2B.

KHAS BUAT KAKAK

Hanya hadiah 3A2B sahaja yang mampu kakak berikan kepada ayah dan ibu. Walaupun ayah dan ibu amat berharap keputusan lebih baik dari itu, kami bersyukur kepada Allah. Pastinya kalau kakak tidak lalai dan leka, ayah percaya 5A bukanlah susah buat kakak.

Jadikan pengalaman hari ini untuk kakak perbaiki diri dari segala segi, pembelajaran, tanggungjawab dan tingkah laku. Kalau boleh diundur masa tentu 11 bulan lepas kakak akan belajar lebih bersungguh dan tinggalkan aktiviti yang melalai dan merugikan. Betul tak??

Masih ada peluang lagi untuk ke asrama penuh di tingkatan 4. Masuk tingkatan 1 pada Jan 2012 nanti jangan lagi ulangi kesilapan yang sama.

Buat anak-anak yang kurang berjaya dalam UPSR 2011 termasuk kakak…ingat pesanan ini…

Masa tidak akan menunggu kita…UPSR 2011 telahpun menjadi sejarah. Yang penting sekarang teruskan usaha. Perjalanan hidup baru bermula. Ada banyak lagi halangan selepas ini. Hanya yang rajin berusaha akan berjaya. Tinggalkan perkara yang tidak berfaedah. Insyaallah kejayaan akan dimiliki.

Thursday, November 10, 2011

Terkini : 17 Nov 2011 Tarikh Rasmi Keputusan UPSR 2011


Seperti yang aku jangkakan dalam Entri Terdahulu keputusan UPSR 2011 akan diumumkan pada hari Khamis 17 Nov 2011.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengumumkan dilaman webnya bahawa Majlis pengumuman analisa keputusan akan diadakan di Putrajaya jam 10.00 pagi. Rujuk laman Kementerian Pelajaran Malaysia di LINK ini.

Berdebar pulak aku memikirkan apakah keputusan yang akan dicapai oleh kakak. Semoga semuanya TERBAEEEKKK!!!!

Tuesday, November 1, 2011

Semak Keputusan Peperiksaan Sekolah Secara Online


Ada satu laman web yang diwujudkan dibawah NKRA Pendidikan untuk memudahkan ibubapa memantau prestasi peperiksaan anak-anak. Dikenali sebagai SAPS (Sistem Analisis Perperiksaan Sekolah). Kini para ibu bapa boleh mengakses keputusan peperiksaan anak-anak secara online.

Ia amat berguna kepada ibubapa yang mungkin tinggal berjauhan dengan anak anak.

Syabas kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mewujudkan sistem ini. Walaupun segelintir guru merunggut dalam mengemaskinikan data, tetapi hasilnya amat berguna buat ibu bapa.

Keputusan UPSR juga boleh disemak di laman web ini. Walau bagaimanapun keputusan UPSR 2011 masih belum keluar buat masa ini. Untuk keputusan peperiksaan akhir tahun bolehlah disemak sekarang.

Laman web SAPS KLIK DISINI

Monday, October 31, 2011

Tarikh Keputusan UPSR 2011...


Bila agaknya keputusan UPSR 2011 akan dikeluarkan??? Kebanyakan ibubapa yang anaknya menduduki perperiksaan UPSR hari tu tentu tak sabar dan ternanti-nanti akan keputusannya.

Begitu juga dengan aku…apalah agaknya keputusan kakak nanti. 5A????

Persekolahan 2011 hampir tamat lebih kurang 2 minggu lagi. Lepas itu anak-anak akan cuti panjang sehingga sesi 2012 dibuka. Peperiksaan akhir tahun juga telah tamat. Sekarang ni pergi sekolah hanya penuhi syarat hari belajar. Hakikatnya dah tak belajar pun…

Kalau mengikut trend 3 tahun lepas keputusan UPSR akan keluar pada minggu kedua bulan November. Bermaksud ada lagi lebih kurang 2 minggu juga lagi. Aku jangkakan pada 17 November 2011, iaitu hari Khamis sebelum cuti panjang. Hari Khamis dipilih kerana ianya adalah hari akhir sesi persekolahan 2011 bagi negeri seperti Kelantan dan Kedah.

Sama-samalah kita nantikan dan berdoa agar anak-anak atau adik-adik kita berjaya dengan keputusan yang cemerlang.

Aminnn….

Monday, July 12, 2010

Exam No 1

Lama dah tak update Blog ni...almaklumlah sibuk dengan kerja dan aktiviti lain.


Hari Sabtu lepas dalam masa nak balik kerja, Ina telefon bagitahu Khir dapat exam No 1. Alhamdullilah....dah lama aku tunggu keputusan ini, akhirnya Khir berjaya dapatkan keputusan cemerlang dalam exam pertengahan tahun.



Sampai je rumah, terus dia minta hadiah.....walaupun aku dah belikan hadiah lebih awal lagi untuknya sebab aku yakin dia akan dapat keputusan samaada no 1,2 atau 3. Tapi tak pelah....petang tu aku bawa Khir ke Pandan Indah...sebuah kedai yang jual replika kapal terbang antarabangsa. Khir memang suka kumpul koleksi kapal terbang....setakat ini dah ada 6 pesawat dari A320 hingga B747.





Peperiksaan hujung tahun nanti ayah nak nombor 1 lagi.....

Tuesday, April 13, 2010

Dari Penolong Ke Ketua Kelas

Balik dari trip Jakarta Bandung hari tu, Khir telah ditukarkan ke kelas 1 Muntaz dari 1 Jabil sebab keputusan peperiksaan yang baik. Khir dapat No 3.

Yang lebih mengembirakan Khir, katanya dia dilantik menjadi Ketua Kelas. Bagus tu Khir dari Pen Ketua Kelas 1 Jabil dapat jadi Ketua Kelas 1 Mumtaz. Satu lagi cita-cita yang belum dia capai ialah Khir nak jadi Pengawas.

Eemmmm…bercita-cita besar jugak anak lelaki aku ni. Aku sering beritahu dia kalau nak jadi Pengawas kena ada displin yang baik dan kena dapat no 1 dalam peperiksaan dulu.

Semalam balik dari sekolah dia cakap kat aku dia naik pentas ambil piala. “ayah Khir dapat piala..Khir buat macam angkat piala bila menang bola” sambil tunjuk aksi macam Negeri Sembilan julang piala menang Piala FA sabtu lepas!

Haahh…..piala apa pulak??? Rupanya kelas dia menang kelas terbersih.

Apa-apapun Khir, ayah ucapkan tahniah dan ayah sentiasa doakan kejayaan buat anak-anak ayah termasuk kakak.

Wednesday, April 7, 2010

Jakarta Bandung Trip - Part 2

Hari ke dua selepas breakfast di hotel seawal jam 6.30 pagi kami bertolak ke kota Bandung, perjalanan melalui lebuhraya bertol mengambil masa 2 jam. Tiba di Bandung kami minta supir kami mencarikan rest house yang terletak dalam bandar dan dekat dengan tempat shoping. Aknirnya supir kami bawa ke Hotel Patradisa yeng terletak depan Balai Kota.

Link Hotel Patradisa http://www.patradisa3.blogspot.com/

Nasib baik ada 2 bilik kosong untuk kami. Bayaran setiap bilik Rph200,000 untuk sharing bed dan Rph225,000 untuk single bed. Selepas bayar tambang sewa kereta sebanyak Rph850,000 kami check in. Hotel Patradisa dikategorikan sebagai budget hotel. Yang bestnya siap dengan breakfast. Keaadaannya amat bersih dan selesa.

Kami beritahu Hotel bahawa kami perlukan kereta dan supir untuk bawa kami shoping sekitar Bandung. Tak lama kemudian, supir kami Abang Budi sampai. Kadar Rph400,000 untuk 12 jam. Sebaik kami setuju Abang Budi bawa kami perki ke Takuban Perahu. Katanya pagi-pagi ni elok pergi kesana dahulu kalau petang nanti takut hujan. Lagi pun jam 9.00 pagi macam ni FO masih belum buka.



Takuban Perahu

Sampai di Takuban Perahu (kawah gunung berapi) lebih kurang jam 10.00 pagi. Lepas tangkap gambar, menjamah juadah di puncak gunung berapi dan lihat gerai sekitar kami bertolak semula ke Kota Bandung.

FO pertama….tempat yang mesti singah di Bandung…Rumah Mode. Kat sana orang panggil Rumah Moda.

Rumah Mode

Fuhh…murah-murah dan berjenama sahaja yang dijual kat sini. Rambang mata. Selesai di Rumah Mode kami makan di Resotan Sunda….Menu ikan Gerumei bakar, ayam bakar, kangkung belacan, sambal belacan, ulam-ulaman….fuuuhhh memang sedap!

Masakan Sunda

Dah kenyang, kami jelajah dari satu FO ke satu FO. Tak sedar masa cepat berlalu…jam dah hampir 9.00 malam. Sebelum pulang ke hotel kami singah melantak Nasi Padang pulak. Hahhahahh shoping makan, shoping makan. Tak de aktiviti lain.

Esoknya sebelum bertolak ke Jakarta, pagi tu kami singah sekali lagi di Rumah Mode. Ada lagi yang dibeli….ha itulah dia penagan Bandung. Dan yang terakir kami singgah di Pasar Baru. Kat sini macam-macam baranag tekstil ada dari kain ela, baju, seluar, jubah, telekong, kasut pendek kata macam-macam pakaian ada. Sedar jam dah hampir 4 petang.

Komplek Pasar Baru

Selepas kemas semua barangan kami bertolak ke Jakarta…berat rasanya nak tingalkan Bandung. Rasa tak puas shoping. Terkilan sikit sebab ada banyak kedai diluar Pasar baru yang tak sempat aku masuk. Rasanya aku akan kembali ke Bandung….

Esoknya kami check out Hotel dan terus ke Airport. Flight jam 2.50 petang waktu WIB. Sampai di LCCT jam 5.50 waktu Malaysia.

Bandung nantikan kedatangan kami sekali lagi. Revenge!!!

Wednesday, March 31, 2010

Jakarta Bandung Trip - Part 1

27 Mar 2010,, aku, Ina, Yeop, Ikin, Fira, Khir, Riana dan Chempaka ke Kota Jakarta. Melancong dan shoping di Bandung. Bangun seawal 3.30 pagi dan bertolak ke KLIA jam 4.15 pagi. Sampai di LCCT lebih kurang pukul 5.00 pagi. Dah rasa macam bangun untuk sahur pulak.

Lepas semua dokumentasi dan check in beg kami terus masuk dan tunggu pesawat. Nasib baik perjalanan ikut waktu. Tak delay. Sampai di Jakarta jam 8.00 pagi WIB besamaan jam 9.00 Malaysia. Ini kali ke dua aku ke Indonesia selepas Bali tahun lalu. Keadaan airportnya boleh dikatakan baik tapi tak secantik terminal utama KLIA. Selepas ambil beg dan cop passport kami mencari teksi ke Hotel. Haaa…kat sini banyak ulat. Ulat kat sini seperti tidak dikawal. Waktu kami nak dapatkan tiket teksi diairport ramai ulat-ulat yang menyuruh kami menggunakan perhidmatan teksi biasa. Ingatkan murah tapi mahal dari teksi airport. Termakan juga pujuk siulat. Cisss…

Tambang dari airport ke Hotel Ciputra sebanyak Rph 200,000 naik Avanza. Sampai di hotel lebih kurang 10.30 pagi terus check in. Nasib baik dapat check in awal.

Selepas berehat kami turun mencari makanan tengah hari. Nak adventure…..makan kat warung kaki 5 walaupun menginap di Hotel International 4 bintang. Kami makanlah nasi dengan ikan bakar dan ayam bakar bersama jus apukat yang popular di Jakarta. Rasanya……wah memang enak!


Warung tepi jalan sebelah Hotel Ciputra

Selesai makan bermulalah perjalanan untuk menghabiskan wang Rph…..hahahhahha…shoping la….apa lagi. Kami ambil teksi ke Tanah Abang. Wah jemnya dan sesaknya semacam jem waktu KL dibanjiri orang Selangor waktu cuti Nuzul Quran. Sesak dan merimaskan. Sampai di komplek membeli belah Tanah Abang kami masuk dan terus shoping. Cuma satu yang tak best……kebanyakan peniaga disini jual secara borong…..Tak boleh beli satu-satu….kena beli sedozen atau setengah dozen. Tak banyak gambar ambil disini sebab keadaan yang terlalu menyesakkan.



Komplek Tanah Abang


Setelah penat kami cari teksi pulang ke Hotel untuk berehat dan simpan tenaga esok untuk ke Bandung. Kat Tanah Abang ni punyalah susah nak dapatkan teksi dah la tu…ditambah pulak dengan jemnya lagi….sakit kepala aku dibuatnya. Mujur kami jumpa seorang yang mencarikan teksi untuk kami. Kami disuruh tunggu di tepi jalan. Tak lama kemudian dia muncul dengan teksi blue bird. Aku dan Yeop suruh Ina, Ikin dan anak-anak naik dulu. Kami tunggu sekali lagi. Lebih kurang 10 minit lelaki tadi muncul semula dengan teksi ke dua. Masuk saja dalah teksi, pemandu teksi kata bagi lelaki tu sedikit upah panggilkan teksi. Ahu hulur Rph5,000 tapi katanya “ Saya copek Pak….Rph10,000” Hahahha…aku terus hulur Rph10,000 dan teksi berlalu.

Sampai di hotel kami rehat sambil santai di swimming pool….bawa khir, fira dan riana mandi kolam.

Pool

Malamnya kami makan di warung tepi hotel lagi….kali ni makan bakso..emmmm sedap. Makanan kat sini semuanya sedap-sedap. Lepas makan kami jalan-jalan dalam Ciputra Mall yang terletak dibawah hotel penginapan kami.


Fira, Khir, Riana & Chempaka bersama Sotong Kurita

Dah penat berjalan, kami balik ke bilik hotel, rehat dan tidur. Esoknya kami bertolak ke Bandung…….bersambung Part 2

Friday, February 19, 2010

Penantian Berakhir

Akhirnya penantian telah tiba setelah menunggu hamper 2 bulan… Ambil kereta pada 17/2/2010. Dalam perjalanan bawa balik ke rumah hujan lebat kat hiway. Sampai je kat rumah selepas hujan berhenti Khir dan Fira tak sabar nak naik kereta baru. Bawa masuk ke porch terus buka plastik balut kerusi.


Semalam aku masih cuti tahun baru cina. Selepas hantar Ina kat offis aku test kereta bawa ikut Bukit Ampang – Pekan Bt 14 Hulu Langat – Empangan Semenyih – dan pulang kerumah. Jalan berbukit dan berselekoh tajam tidak menjadi masalah kepada Forte. Superb handling.

Secara keseluruhannya aku amat berpuas hati dengan Forte dari rekabentuk, teknologi dan prestasi. Berbaloi menunggu warna merah ni sebab tak banyak di jalaraya seperti warna titanium silver, hitam dan putih. Warna merah adalah limited colour dari Naza hanya untuk model SX buat masa ini.

Wednesday, February 10, 2010

Selamat Tinggal Kelisa

Tadi dengan perasaan yang agak sedih juga aku dan Ina melepaskan kereta Kelisa kami kepada dealer kereta baru. Masa beli kereta Kelisa ini langsung tak terfikir nak jualkannya. Tapi itulah takdirnya…..


Untuk rekod service kereta ni tak pernah miss setiap 5000 km di Perodua. Paling jauh Ina bawa ke Penang bulan lepas.

Semoga bakal pembeli Kelisa ini nanti dapat jaganya dengan baik seperti mana kami jaganya. Senang je nak kenalnya kerana nombornya sama seperti kereta-kereta kami yang lain.

Selamat tinggal Kelisa…

Kereta baru??? Insyaallah esok atau lusa…..

Thursday, January 28, 2010

Your Car Arrived!!!

Tadi terima call dari KIA Kajang. Kereta dah sampai kat showroom. Minggu depan boleh register. Alhamdullilah.

Tengah hari tadi masa lunch hour aku singgah kejap kat showroom. Pergi hantar resit booking nombor pendaftaran JPJ kat dealer. Dari jauh dah nampak satu-satunya Forte warna merah kat situ.


Insyallah jika semuanya diizinkanNYA, minggu depan dapatlah kami kereta baru yang kami nantikan.

Thursday, January 14, 2010

Khir Dilantik Penolong Ketua Kelas

Semalam balik je dari sekolah, Khir bagitahu yang dia dilantik guru kelasnya sebagai Penolong Ketua Kelas. Bila ditanya siapa jadi ketua dia kata perempuan…nama…eemmmm entah!. Issh…Isssh….Issh macam mana boleh jadi Penolong Ketua Kelas kalau nama rakan sekelas pun tak ingat!!!

Bila ditanya lagi appa tugas Penolong Ketua Kelas, jawabnya kena tolong Cikgu bawa buku ke bilik guru dan jaga kelas masa ketiadaan guru!

Bangga dan seronok sungguh dia. Sekarang dah menyimpan azam nak jadi Pengawas pulak. Ok la tu Khir. Aku bagitahu dia kalau nak jadi Pengawas kena ada displin yang tinggi dan kena dapat keputusan no 1 dalam peperiksaan.

Bila dengar Khir nak jadi Pengawas, kakaknya Fira pula teringgin nak jadi Pengawas jugak….emmmm masa Fira di tahun 3 dulu dia dilantik Ketua Kelas. Tapi dia malas sikit nak belajar. Kalau tidak dah tentu dah dilantik jadi Pengawas.

Bagus juga Khir dilantik Penolong Ketua Kelas pada tahun 1. Dapat juga dia merasai tanggungjawab yang perlu dipikul seperti mana yang telah diamanahkan.

Tahniah Khir!!!!

Thursday, December 31, 2009

2010

Selamat Tahun Baru!!!!

Setiap kali tahun baru catatan umur kita semakin meningkat. Semakin singkat jugalah usia kita. Ada perkara yang yang diangankan belum tercapai. Mungkin perancangan yang tidak serius menggagalkannya.

Tahun 2010 juga Khir akan memasuki alam persekolahan sebenar di Tahun 1. Ayah doakan agar Khir berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair.

Selamat datang 2010.

Tuesday, November 24, 2009

Selamat Hari Lahir Fira

Pada 20 Nov 2009 lalu genap 10 tahun usia Fira. Selamat Hari Lahir anakku. Ingatan aku masih segar pada hari kelahirannya. Ketika aku mula memegangnya untuk iqamahkan, matanya tak berkedip memandang aku. Comel sangat.

Hari Ahad tu kami buat sedikit majlis sambutan hari lahir untuknya. Panggil adik beradik dan 2 orang rakan. Hanya majils yang ringkas di Mc Donalds.

Tahun-tahun yang lalu kami tak buat sambutan sebab kebanyakkannya jatuh di dalam bulan puasa. Tahun ini baru boleh buat disamping genap 10 tahun.

Semoga Allah memudahkan segala urusan mu di dunia dan akhirat, diberikan ilmu pengetahuan yang berguna untuk agama, bangsa dan tanahair.

Thursday, November 19, 2009

Lawatan Singkat Dan Padat Langkawi Part 3

Kami sampai di Tanjung Rhu Resort disambut oleh kakitangan resort yang ramah dan penuh senyuman. Aku lihat di sini tiada kaunter reception seperti kebanyakan resort lain. Kami terus diperkenalkan dengan seorang kakitangan resort (tak ingat namanya). Dia terus bawa kami ke bilik. “ Di sini kami praktis check in dalam room supaya guest lebih selesa”. Pertama kali aku check in terus dari dalam room. Ini adalah procedure biasa. Semua guest akan check in dalam room. Bukan disebabkan kami adalah “special guest”.

Damai Room

Sampai dalam room yang diberi nama DAMAI kami diminta duduk disofa sambil diberi tuala sejuk untuk menyegarkan muka. Sambil itu kami dihidangkan dengan minuman sejuk dan buah-buahan. Selepas diterangkan lokasi resort dalam peta diatas meja, barulah kakitangan resort tadi meminta kad pengenalan kami untuk direkodkan sebagai tetamu.



Resort Map


“Puan boleh gunakan segala kemudahan yang kami sediakan. Semuanya telah diuruskan. Jika Puan mahukan apa-apa just hubungi kami. Kami akan aturkan untuk segalanya Puan”. Hahaahha maklum Luxury 5 Star Resort service.

Perut pun dah lapar, jadi selepas berehat sebentar kami turun ke Saffron. Mediterranean food restaurant. Aku makan Rib Eye Steak manakala Ina makan Arabic Steak blablabla (tak ingatla namanya). Sepinggan steak berharga RM75.00. Aku tengok sekeliling yang ada Mat dan Minah Salleh. Tiada pun guest Melayu selain kami atau local citizen. Sedang makan Sharidan datang memperkenalkan dirinya. Sharidan adalah pegawai yang akan mengiring kami untuk tugasan kami petang haritu. Dia akan bawa kami melawat sekitar resort dan tanah sekitar resort milik Tanjung Rhu Resort yang dalam perancangan pembangunan.

Lewat petang kami pulang semula ke resort selepas melawat tanah di hujung tanjung. Sebelum pulang ke room Sharidan ada bagitahu jikalau kami nak keluar ke pecan Kuah dia akan arahkan driver sediakan Estima untuk kami. Cadangnya memang kami nak keluar tapi memandangkan aku agak keletihan memandu dari jam 4 pagi lagi dan esok ada kerja lagi nak dibuat dan pulang semula ke KL esok petang, kami batalkan cadangan ke pekan Kuah malam tu.

Pagi keesokannya kami bertemu Hj Shukri one of the Resort Director. Very humble and low profile person. Begitu juga dengan wife dia. Jam 8.30 pagi Hj Shukri bawa kami melawat tapak cadangan pembangunan expension resort termasuk mangrove dan mangrove island menaiki bot. Aku memang respect kat Hj Shuri ni. Berjawatan director bukan bermegah bagi dirinya. Dia jumpa tukang sapu pun dia angkat tangan dulu, jumpa siapa saja dia angkat tangan tanda beri salam. Dari perbualan aku dengannya dia kata mengusahakan resort ni tidak seperti mengusahakan business hotel. Resort lebih kepada sifat kekeluargaan. Hubungan kekeluargaan perlu ada antara kakitangan dan guest barulah ada kemesraan. Tak hairan Tanjung Rhu Resort dapat beberapa anugerah termasuk landskapnya yang tiada tandingan.

Mangrove

Jam 12.00 lawatan kerja kami selesai. Kami check out jam 1.00 tengahhari walaupun Hj Shukri meminta kami stay lagi untuk malam lagi. Biar kami dapat menjiwai resortnya katanya. Kalau bukan aku sibuk di pejabat mahu rasanya aku stay satu malam lagi.

Time nak balik ke jeti, pemandu dengan kereta Estima telah sedia menanti kami. Sebelum sampai jeti kami singah di Ismail Group tempat popular untuk beli coklat kata Anuar pemandu kami.

Kami sampai di Kuala Lumpur jam 10.00 malam selepas bertolak jam 4.30 petang dari Kuala Perlis.

Walaupun letih dan rushing tapi ia satu pengalaman manis menginap di sana. Terima kasih kepada semua staff Tanjung Rhu Resort.

Wednesday, November 18, 2009

Lawatan Singkat Dan Padat Langkawi Part 2


Kami sampai di jeti Langkawi jam 12.30 tengahhari. Sebaik sampai je aku terus je la call no yang tertera untuk ambil kereta sewa. Setelah berjumpa dia kata “Kereta ni belum balik lagi. Kalau abang nak kena ambil Toyota Vios tapi kena tambah RM40.00 lagi”. Aku dah mula angina bila dengar kena tambah duit. “Apasal pulak kena tambah tadi kawan kau kata kereta bagusla, baru la” aku membebel.

“Kereta Mitshubishi ni personal punya tapi Vios tu company punya, tu pasal mahal sikit”. Aku dah rasa macam nak kena tipu je dengan ulat-ulat ni. “Tak pe macam mana sekarang? Nak bagi atau tidak? Kalau tak boleh bagi saya cari je kereta lain”. Aku dah bertambah angin. “Abang cari la dulu kereta lain balik ke jeti esok mintak balik RM10.00 deposit tu”. Hishhhh macam mana aku boleh terkena dengan ulat ni. Kat KL selama aku duduk hampir 20 tahun tak kena kat Langkawi pulah boleh kena.

Sambil nak cari kereta Ina dapat call dari resort. Resort bagi tahu tak payah sewa kereta. Semua dah disediakan untuk kami. Dari penginapan, kereta bersama pemandu semua dah tersedia. Cuma aku kena ambil teksi sahaja sebab nak tunggu pemandu sampai ambil kami dari jeti mungkin kami terpaksa tunggu lama sikit. Laaaa apasal resort tak cakap awal-awal kan senang, tak payah kami layan ulat macam tu.

So kami dapatkan teksi teksi di jeti. Bila kami kata nak ke Tanjung Rhu drebar teksi tu terpinga. “Tanjung Rhu Resort ke?” Ye Tanjung Rhu Resort!” Apa yang peliknya dalam hati aku. Ooooo mungkin tak ramai local yang menginap kat situ kot. Tambang teksi RM30.00

Sambung ke Part 3

Monday, November 16, 2009

Lawatan Singkat Dan Padat Langkawi Part 1

Sabtu lepas, aku dan Ina ke Penang dan Langkawi. Satu lawatan kerja yang singkat dan padat. Aku tak mahu ambil cuti memandangkan kerja aku sendiri agak banyak. Aku terpaksa pergi sebab Ina tak boleh drive kereta jauh dan lama.

Pukul 4 pagi kami dah bertolak ke Penang. Sebelum itu kami singgah di rumah adik ipar aku tinggalkan anak-anak kami. Leceh kalau bawa mereka. Kami pergi bukannya bercuti tapi bekerja walaupun kami akan menginap di hotel mewah 5 bintang di Langkawi.

Tanjung Rhu Beach

Sampai di Penang pukul 8.00 pagi terus tenggok tanah. Ambil gambar dan detail siap pukul 9.00. Disebabkan kami in-rushing tak banyak gambar pribadi atau angle yang menarik diambil memandangkan ini bukan trip percutian. Kami mengejar masa sebenarnya. Banyak perkara yang perlu diselesaikan.

Kami Bertolak semula ke Kuala Perlis. Perjalanan lancar tertapi sedikit terganggu sebab aku keluar di tol Alor Star (S) ikut jalan lama ke Kangar. Jalan sini banyak lori dan susah nak memotong. Cadangnya nak naik feri di Kuala Kedah itulah sebab aku keluar tol Alor Star (S). tapi memikirkan perjalanan feri yang jauh, lama dan ombak yang kuat kami tukar perancangan awal dan naik ikut Kuala Perlis. Sampai jeti Kuala Perlis jam 11.00 pagi. Sebelum cari parking dah ada ulat yang mendekati kereta kami dengan motor cub. Mungkin tengok plat kereta luar je diorang mula dekati. “Asalammualaikum Bang….nak ke Langkawi ke? Nak parking kereta tak?” Aku jawab ringkas “ Tak pe terima kasih” Malas aku nak layan ulat-ulat ni.

Bila aku masuk parking mamat tadi ikut masuk. Rupa-rupanya parking tu ulat tu punya. Ceh…

Parking tak le bagus, rapat-rapat pulak tu cuma berbumbungkan zink. Kadar RM20.00 satu malam.

Lepas bayar parking ada pulak ulat yang nak offerkan kereta kat kami. Sebenarnya aku tak berminat tapi Ina melayan. Jawabnya terkena la. Kereta Mitsubishi Lancer 2.0 GT dengan harga RM100.00. Selepas tawar menawar setuju dengan RM90.00. Katanya bayar masa ambil kereta kat Langkawi Cuma bayar deposit RM10.00 dulu kat dia. OK lah tampa bayar tanpa prejudis. Lepas bayar nak offer hotel pulak kat kami. Aku cakap nak duduk Tanjung Rhu Resort. “Uuuuiiiii mahai tu bang. Satu malam RM1,800.00. Kita tak ambik”.

Kami terus ke jeti dan ambil tiket pergi balik. Seorang sehala RM18.00. Kami ambil dua hala pergi dan balik. Supaya nanti senang tak payah beli lagi Cuma kena confirmkan masa je.

Nasib kami baik sebab feri jam 11.30 pagi baru nak berlepas dan benarkan kami naik walaupun tiket yang kami beli untuk jam 12.30 tengah hari.

Dalam feri aku dapat rekatkan badan sebentar selepas 5 jam memandu.

Bersambung……Part 2

Saturday, June 20, 2009

Selamat Hari Bapa


Selepas hari Ibu, kini hadir pula Hari Bapa. Tahun ini dah 7 tahun ayahanda meninggal dunia. Al-Fatihah. Walaupun begitu kenangan bersama ayahanda masih segar dalam ingatan. Ayahanda seorang yang tegas, penyabar dah kuat semangat. Malang menimpa, pada tahun 1980 ayahanda diserang stok dan lumpuh separuh badan. Dengan semangat yang kuat tidak lama selepas itu ayahanda bangun dan hasilnya ayahanda mampu menguruskan diri sendiri malah mampu mengayuh basikal untuk ke kedai Pak Mat gunting rambut.

Yang paling segar dalam ingatan kenangan masa kecil aku bersama ayahanda ialah ronda-ronda naik motor baru ayahanda. Aku duduk dihadapan didalam bakul motorsikal Honda Cup C60 ayahanda. Ketika itu usia aku dalam lingkungan 5 tahun dan ayahanda juga sibuk menguruskan kedai runcitnya di kampong. Satu dari 3 kedai runcit yang ada di kampong aku ketika itu.

Ayahanda seorang yang tidak mahu melihat anak-anaknya susah. Dalam keadaan lumpuhpun ayahanda seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dia menguruskan dirinya sendiri sejak bonda meninggal dunia pada tahun 1987. Hampir 1 satun ayahanda bersedih diatas kepergian bonda tercinta. Setiap lepas sembahyang aku perhatikan ada linangan air mata dipipi ayahanda mendoakan bonda.

Terlalu banyak pengorbanan yang diberikan oleh ayahanda kepada anak-anaknya termasuk aku. Hasil dari perniagaan kedai runcitnya ayahanda mampu memiliki beberapa bidang tanah. Tetapi kebanyakkan daripada tanah-tanahnya telah dijual bagi menampung pelajaran anak-anaknya terutama abang-abang aku ke universiti. Motor pertama milik aku ketika di universiti adalah dari wang simpanan ASB ayahanda.

Ayahanda meninggal dunia selepas kena serangan strok kali kedua. Tidak lama selepas itu ayahanda kena food poisoning. Selepas kena food poisoning keadaan ayahanda makin kritikal. Ketika itu aku masih di Kuala Lumpur. Aku tidak sempat berada disisi ayahanda ketika ayahanda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Menurut abangku ketika nak dihantarkan ke Hospital dari rumah, ayahanda menitiskan air mata meninggalkan rumahnya kali terakhir. Rumah yang dibinanya sendiri. Mungkin ayahanda tahu bahawa ayahanda tidak akan kembali lagi melihat rumahnya selepas itu. Sesampainya dihospital ayahanda berpesan kedapa abangku agar membawakan kepadanya kain pelikat. Rupa-rupanya kain pelikat yang dimintanya adalah untuk menutup jenazahnya.

Kini kami kesemua anak-anaknya telah memiliki keluarga masing-masing dan aku sendiri telah menjadi ayah. Ayah kepada 2 orang anak yang nakal. Mampukah aku menjadi ayah yang baik, berkorban harta benda, jiwa dan raga terhadap anak-anak kesayangan seperti ayahanda. Sudah tentu perananku sebagai ayah pada zaman sekarang lebih mencabar akibat persekitaran yang dicemari masalah gejala sosial yang berluluasa.

KepadaNya lah kita memohon perlindungan.

Buat ayahanda dan bonda, anakanda nak ucapkan terima kasih kerana melahirkan anakanda kedunia ini. Menyayangi dan membesarkan anakanda dengan sempurna.

Selamat Hari Bapa buat Ayahanda semoga roh ayahanda dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang dikasihi. Selamat Hari Bapa jua buat Ayah Mertuaku semoga dimurahkan rezeki, kesihatan dan kesejahteraan.

Amin.